Thursday, April 22, 2010

Bayarlah dengan segelas susu...

Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah

musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan

serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi

kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.

Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda

yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan

pengembaraannya masih panjang lagi.

Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang

di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka pintu

rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.

Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu

dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan

sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.

Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana dia tahu pemuda

tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan

pengembaraannya.

"Berapa harga susu ini?" tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.

Jawab budak perempuan itu, "Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah

mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan

yang kita lakukan"

Pengembaramuda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut. "Kalau begitu, saya

hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja,"kata pemuda tersebut, disambut oleh

budak perempuan itu dengan senyuman dan anggukan.

Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda

yang berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima sebarang bayaran,

walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda

tersebut.

Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit

kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa

oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.

Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera

terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak

bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya segelas susu dan

kemudiannya berkata," Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta

sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan,"

Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang terdaya untuk

menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad untuk beberapa lama.

Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya diubati.

Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor

itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia

memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut, kemudian menulis

sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia menurunkan tandatangannya.

Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir

ladang.

Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi helaian

dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya. Walau

si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum tentu dia dapat membayar bil

yang dikenakan itu. Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian

terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya. Tulisan itu berbunyi…

"Bayarlah dengan segelas susu.."

Artikel ini adalah pengalaman sebenar Dr Howard Kelly (1858-1943), salah seorang

daripada empat doktor yang mengasaskan Universiti John Hopkins. Amerika

Syarikat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...